Ahad, 1 Mei 2011

Berambeh ke Sarawak

Hampir sebulan aku balik dari Bumi Kenyalang. Walaupun mungkin sudah agak terlambat, tetapi aku nak tulis juga di sini kerana ia merupakan pengalaman yang amat manis untuk aku simpan. Sebenarnya dalam masa terdekat ini sudah dua kali aku ke sana. Banyak pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Kalau dulu aku telah masuk ke kampung masyarakat Melayu Sarawak, tapi kali ini aku telah berjaya masuk agak jauh ke pedalaman. Sekitar perkampungan Bidayuh. Aku sendiri tidak menjangkakan akan sampai ke sana. Perjalanan yang agak sukar tidak terbandingkan dengan pengalaman yang diperoleh.
Perjalanan dari Penang ke Kuching adalah lebih kurang selama dua jam. Malam sebelum perjalanan, kami menetap di UNIMAS. Sebenarnya program ini juga adalah usahasama bersama UNIMAS. (Meskipun kekurangan peserta dari UNIMAS, tapi kami amat menghargai penyertaan dari kamu semua :) ). Keesokannya kami bertolak ke Pekan Serian lebih kurang pukul 11 pagi selepas makan pagi dan mendengar sedikit taklimat.
Program kali ni memang lain dari yang lain. Aku sendiri tak sangka akan sampai sejauh ini. Pelbagai pengalaman yang tak terlupakan. Makan nasi yang dimasak dalam buluh, ayam pasung, nasi dalam daun, dan beberapa jenis makanan yang aku sendiri tak tahu namanya. Apa lagi yang menarik? semestinya duduk melepak di rumah panjang mereka yang unik. Berbaring-baring atas tuai yang diperbuat daripada buluh. Sejuk dan nyaman sekali. Tangga dalam rumah pula masih lagi menggunakan batang kayu panjang yang dibentuk cukup-cukup untuk sebelah kaki. Kalau sebelum ni aku hanya melihatnya di Kampung Budaya, tapi kali ni aku sendiri dah melihatnya. Walaupun sudah terdapat rumah yang dibina secara berasingan, namun rumah panjang masih tetap dikekalkan. Mereka yang tinggal di sana juga cukup ramah dan menerima kehadiran kami dengan baik.
Bukan itu sahaja, pemandangan perkampungan Bidayuh ini juga cukup menarik. Bayangkan, keluar sahaja depan rumah sudah ada sebatang sungai yang bersih dan jernih mengalir. Budak-budak kecil boleh bermandi-manda pada bila masa yang mereka suka tanpa merisaukan ibu bapa. Di atas sungai itu pula terdapat sebatang jambatan yang diperbuat daripada buluh. Tetapi terdapat sebatang jambatan yang lebih selamat dibina daripada kayu. Sekolah rendah pula dibina atas bukit. Kalau naik ke atas, dapat melihat pemandangan kampung yang indah. Lebih-lebih lagi kalau pada waktu pagi. Hijau dan berkabus.

Tiada ulasan: