Halaman

Selasa, 19 Januari 2010

Aku Sepasang Kasut yang Sungguh Kasihan...

Sudah beberapa kali aku dipaksa bekerja dalam keadaan diriku yang sudah amat uzur ini. Ingin sahaja aku menjerit-jerit memaki di gegendang telinga orang yang selalu menyarung aku. Kulit aku pun sudah luntur walaupun mungkin sebahagiannya adalah hanya pvc. Namun suaraku terlalu kecil. Lidah pun tak ada. Bagaimana aku hendak melontarkan semua itu. Mahu tidak mahu harus kutelan semua itu walaupun perit. Sudahlah hina, setiap hari dipijak. Malah aku diseksa lagi sebegitu.
Hari demi hari berlalu..namun nasibku tetap sama. namun pada suatu aku terperasan sesuatu yang agak lain di persekitaran tempat aku selalu dilepakkan. Seperti ada bau haruman kedai yang cukup mengasyikkan. Sudah lama aku tidak berbau sebegitu. Bau hapak adalah. Sementelah dari saat itu, aku tidak lagi dipijak-pijakkan. Aku dijulang tinggi-tinggi di atas almari. Aku terasa begitu bangga sekali dengan penghargaan sebegitu. Belum pernah lagi aku dilayan sebegitu sepanjang aku dinobatkan sebagai kasut terbaik milik tuan.
Kini, apa yang dapat aku lihat ialah mangsa terbaru tempat tuan berpijak. Sungguh aneh, dia langsung tidak berasa sedih ataupun terseksa. Malah, dia begitu gembira menjadi mangsa pemijakan tersebut. Setiap pagi, dia akan disarungkan dengan penuh bergaya oleh tuan. Ceh, apa yang nak dibanggakan..cuma sekadar dipijak dan dihenyak. Mungkin dia masih tidak sedar tentang kebodohannya itu.
Tapi hari demi hari aku lihat dia semakin disayangi. Hampir setiap hari tuan akan mentancapkan wajah dan badannya dengan sejenis alat mekap khas yang berkilat. Malah tuan juga telah memberikan satu tempat yang khas untuk dia berehat. Seronok pula aku melihat dia begitu. Akhirnya aku menyedari yang mungkin aku lebih bodoh dari dia. Walaupun selama ini aku telah digunakan, tapi aku tidak pernah merasai kebahagiaan sebegitu. Berbeza dengan dia yang aku lihat sentiasa menikmati setiap saat yang berlalu bersama tuan. Malah dia semakin disayangi dan dijaga dengan lebih rapi.
Akhirnya baru aku sedari. Ada sesuatu yang dia ada yang aku tak miliki. Mungkin aku perlu dapatkan itu untuk menjalani saat-saat emas ini. Mungkin kini aku perlu mempelajari tentang erti sebuah keIKHLASan.

Tiada ulasan: