Halaman

Selasa, 10 Mac 2009

IRONInya

Macam ni la bila dah sibuk sangat... masa tidur pun dan tak tentu arah... tidur lambat.. pastu bangun nak kena awal (tapi selalu terlajak je..heh) buka mata je nak kena fikir tentang kerja yang belum disiapkan lagi.. masa untuk diri sendiri pun dah tak banyak.

 Tapi sebenarnya aku tak kisah tentang tu... tapi aku lebih kisah kalau orang dah janji nak bagi bila kita selesaikan kerja tapi janji tu hanya janji kosong..janji tinggal janji... Bukannya aku nak kata aku bekerja semata-mata kerana itu, tapi bagi aku itu adalah perkara penting. Perkara seperti 'SIRA' dan Sijil sebenarnya penting bagi aku kerana aku rasa aku layak dapat bila aku dah buat dengan baik. Mereka yang dah berjanji untuk beri Sijil atau Sira atau merit ni perlulah selesaikan tanggungjawab tersebut dan bukannya menggunakannya sebagai tarikan untuk pelajar mengikuti sesuatu program anjuran mereka tu. Aku kata penting kerana sijil atau sira yang kita dapat tu nanti boleh dijadikan bukti tentang penglibatan terhadap universiti sewaktu memohon kerja nanti. Jadi, kalau sijil dengan sira tak diberi, apa lagi yang boleh dijadikan bukti. Pihak organisasi tempat kita memohon kerja nanti bukannya tahu tahap kepimpinan, kecekapan, dan keaktifan kita. Mereka cuma bergantung kepada sijil-sijil yang kita bawa untuk temuduga nanti selain penampilan kita yang akan diuji. Lebih-lebih lagi semasa tapisan awal permohonan kerja. Selain pointer yang baik, tahap penglibatan juga diambil kira. Ini kerana di dalam arena pekerjaan, softskill adalah suatu kelebihan yang dapat membantu nanti. Katakanlah kamu menjadi seorang Pegawai Teknologi Maklumat di sebuah syarikat dan kamu telah diarah untuk mengendalikan sebuah ceramah mengenai teknologi maklumat. Kamu mungkin tidak mengambil subjek yang berkenaan mengurus sebuah majlis atau menjadi penceramah, tapi kamu mampu lakukannya mungkin kerana dahulu sewaktu kamu belajar, kamu pernah menyertai program yang bersifat sedemikian dan kamu tidak kekok untuk melakukannya malah mungkin kamu akan dipuji kerana prestasi yang membanggakan. Maka, pada waktu itu kamu akan nampak di mana gunanya apa yang kamu pernah praktikkan sewaktu kamu belajar dahulu. 

Aku mengatakan sedemikian kerana sebelum aku belajar di sini, aku juga pernah bekerja sebagai kakitangan sambilan kerajaan. Sewaktu ditemuduga dahulu, penemuduga menekankan tentang tahap penglibatan aku di sekolah. Jadi, itu membuatkan aku faham tentang pentingnya sijil-sijil tersebut. Ini bukan bermakna pencapaian akademik tidak penting. Pencapaian akademik amat penting sebagai tiket untuk melepasi tapisan awal pemilihan untuk ditemuduga. Jika kita mempunyai sijil yang tinggi menggunung pun, tapi kalau kita gagal di dalam di dalam akademik, bagaimana untuk kita dipanggil menghadiri temuduga? Perkara seperti ini juga aku telah lihat di kalangan sesetengah pelajar yang hanya sibuk dengan program-program pelajar tetapi kurang menekankan tentang pelajaran dan akademik. Bukankah tujuan utama kita ke universiti adalah untuk belajar dan memperoleh gred yang baik? mengapa perlu terlalu mementingkan perkara lain sehingga pelajaran terjejas? Maksud aku di sini ialah kita perlu membahagikan komitmen kita dengan baik samada terhadap pelajaran mahupun terhadap aktiviti pelajar.

Pernah tak kamu dengar tentang pepatah yang berbunyi " Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran", ap yang disibukkan tidak mendatangkan hasil tetapi yang sebenarnya perlu dijaga habis bercelaru. Jangan juga jadi seperti Pak Pandir, "mendengar guruh di langit, air ditempayan dicurahkan". Janganlah terlalu cepat melatah. Fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu. Fikir tentang buruk baik yang mungkin akan kita peroleh kerana orang yang berjaya itu  adalah orang yang berfikir.


*p/s : mungkin hari ni aku terlalu serius..hehe

Tiada ulasan: