Halaman

Khamis, 3 Julai 2008

Dari meja PC aku ke Alam Narnia



Rancangan MegaTV di saluran TV3 telah menarik minat aku untuk menulis mengenai perkara ini. The Chronicles of Narnia; The Witch, The Lion and The Wardrobe adalah sebuah filem yang memang menarik hati ramai penonton di Malaysia. Aku sendiri telah menonton filem ini berkali-kali sebelum ini. Jalan cerita, latar belakang dan fiksyen yang diterapkan dalam filem ini telah membuatkan peminat-peminat filem The Chronicles of Narnia; The Lion, The Witch and The Wardrobe tidak mahu terlepas walau satu babak pun dalam filem kegemaran ramai ini.





Narnia, sebagai tajuk utama adalah merupakan alam lain yang berbeza dari dunia asal. Dunia Narnia dalam Filem The Chronicles of Narnia; The Lion, The Witch and The Wardrobe dimasuki oleh empat adik beradik yang berpindah kerana peperangan melalui ‘Wardrobe" iaitu sebuah almari pakaian yang berada di rumah professor tempat mereka ditumpangkan oeh ibu mereka. Di dalam Narnia, mereka telah berjumpa dengan berbagai-bagai perkara yang berada jauh dari jangkaan mereka. Pengembaraan mereka bertambah mencabar apabila terpaksa berdepan dengan ahli sihir perempuan yang jahat iaitu ‘The Witch’ yang mengangkat dirinya sebagai ratu narnia dan berniat untuk menghapuskan mereka dengan mengumpan salah seorang dari mereka berempat iaitu Edmund. Edmund yang mengetahui dirinya telah ditipu oleh The Witch menyedari dirinya berada dalam bahaya. Akhirnya, Edmund berjaya diselamatkan setelah Peter, Susan dan Lucy berjumpa dengan ‘The Lion’ iaitu seekor singa yang bernama Aslan yang merupakan Raja sebenar Narnia dengan bantuan bala tentera Aslan.


Walaubagaimanapun, konflik masih belum berakhir kerana peperangan untuk merampas Narnia dari ahli sihir perempuan baru bermula. Berbekalkan senjata yang mereka miliki dan setelah berhempas pulas memerangi bala tentera ‘The Witch’ mereka akhirnya berjaya mencapai kemenangan yang diidamkan oleh hampir seluruh penduduk Narnia. Selepas berakhirnya peperangan, mereka berempat ditabalkan sebagai raja dan ratu Narnia dan Narnia kembali aman semasa pemerintahan mereka. Pemerintahan mereka tamat apabila mereka telah dewasa dan secara tidak sengaja meninggalkan Narnia dan balik ke dunia asal namun perkara yang tidak disangka-sangka berlaku iaitu mereka telah kembali sama seperti waktu mereka mula-mula datang baik dari segi masa mahupun fizikal mereka, tiada yang berubah. Bagaikan satu pengembaraan di dalam mimpi!


Dalam sekuel Narnia yang kedua iaitu The Chronicles of Narnia; Prince Caspian pula memaparkan sekali lagi pengembaraan mereka ke alam Narnia dan kali ini mereka memasuki Narnia bukan melalui ‘Wardrobe’ tetapi secara tidak sengaja iaitu disedut masuk ke alam Narnia semasa hendak menaiki keretapi ketika baru pulang dari sekolah. Prince Caspian, seorang putera raja yang telah dikhianati oleh bapa saudaranya, secara tidak sengaja telah memanggil empat adik beradik tadi dengan meniup sejenis alat yang ditinggalkan oleh Susan sewaktu meninggalkan alam Narnia beratus-ratus tahun dahulu mengikut masa di alam Narnia. Sekali lagi pengembaraan mereka bermula. Kali ini mereka terpaksa berdepan pula dengan bapa saudara Prince Caspian yang menguasai Narnia ketika itu dan berniat untuk menghapuskan penduduk asal Narnia. Perjalanan mereka bertambah sukar kerana penduduk asal Narnia yang merupakan makhluk separa manusia dan separa binatang bermusuh ketat dengan manusia. Jadi ini menyukarkan mereka untuk memberi bantuan kepada penduduk asal Narnia dan juga Prince Caspian.








Perjalanan kisah ini bertambah menarik. Kekeruhan peperangan, pengkhianatan dan permusuhan dijernihkan dengan kasih sayang, percintaan, kesetiaan, dan semangat yang diperlihatkan. Diselangi dengan efek audio dan video yang menjadikan turutan kisah ini semakin menarik untuk ditonton. Jadi, aku memang bersetuju kalau nak kata aku ni peminat 'The Chronicles of Narnia'.

Tiada ulasan: